STR ‘penyelamat’, ringankan beban kewangan penerima

 April 8, 2025, Selasa – 5:45pm

KUCHING: Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Sarawak menyifatkan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sebagai ‘penyelamat’ dan sangat membantu bagi mengurangkan beban kewangan bulanan isi rumah terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Eksekutif komunikasi pemasaran sebuah syarikat swasta Catohrinner Joyce, 36, berkata STR bukan sekadar angka di dalam akaun bank tetapi satu bentuk keprihatinan kerajaan yang sangat dirasainya.

“Inisiatif ini memang bagus dan sangat membantu, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar seperti saya.

“Perbelanjaan harian meningkat, tetapi dengan adanya STR, saya boleh salurkan sedikit kepada keperluan penting seperti barangan dapur, sewa dan tambang ulang-alik ke tempat kerja. Saya benar-benar berharap program ini diteruskan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang pemandu lori Frankie Munau, 52, pula berkata bantuan STR sangat besar ertinya apatah lagi apabila pendapatan harian tidak menentu dan bergantung sepenuhnya kepada jumlah trip yang diperoleh.

Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai satu sokongan penting kepada golongan yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Sumbangan ini memang meringankan beban kami sekeluarga. Sekarang harga barang semua naik, minyak pun mahal. STR ini saya gunakan untuk beli barang keperluan anak-anak dan tampung belanja dapur. Memang sangat membantu, terima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Seorang lagi penerima, Cecelia Bernard Merlin, 48, yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang minuman berkata STR sebagai ‘penyelamat’ kepadanya.

“Kadangkala saya terpaksa memilih antara keperluan penting. Dengan adanya bantuan ini, saya dapat lunaskan bil utiliti dan juga simpan sedikit untuk kecemasan. Ia menunjukkan kerajaan peka dengan kesusahan rakyat,” katanya.

Pembayaran STR Fasa Dua dilaksanakan mulai 24 Mac lepas, melibatkan peruntukan RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lepas.

Seramai 8.5 juta penerima terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia, mendapat bantuan sehingga RM650 menerusi STR Fasa Dua.