‘Teringin hendak makan, seumur hidup tidak pernah dapat’

NURUL HIDAYAH HAMID – 12 April 2025

SHAH ALAM – Perkongsian video seorang wanita mengenai reaksi bapanya selepas dapat membeli ‘corn dog’ iaitu sosej disalut tepung dengan inti keju dan air minuman menggunakan lebihan wang bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

Menerusi video TikTok dikongsikan melalui akaun kaksha_9, kelihatan seorang lelaki warga emas tersenyum gembira sambil menunjukkan makanan tidak pernah dirasai yang dibelinya.

Menerusi rakaman video itu, lelaki warga emas terbabit memaklumkan dia membeli makanan tersebut kerana teringin merasainya.

“Teringin hendak makan. Seumur hidup tidak pernah dapat,” katanya.

Menurut Nur Fatin Sathirah Ahmad Shukri, 32, kejadian tersebut berlaku ketika ibunya, Hayati Zakaria, 55, dan bapanya, Ahmad Shukri Ibrahim, 62, dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan di sekitar Jitra.

“Selepas membeli beberapa barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan air kordial menggunakan wang bantuan sebanyak RM100 tersebut.

“Ibu cerita, ayah tiba-tiba mengatakan keinginannya untuk merasai ‘corn dog’ kerana seumur hidup tidak pernah dapat bantuan seperti itu. Jadi bila ada peluang, dia hendak juga cuba,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Nur Fatin Shatirah berkata, ibu bapanya dapat menjimatkan perbelanjaan barang dapur mereka sekali gus mempunyai sedikit lebih wang untuk membeli ‘corn dog’ yang diinginkan.

“Apabila ada sedikit lebihan wang, barulah ayah membeli ‘corn dog’ dan air untuk dirinya,” jelasnya lagi.

Menurutnya, ibunya merakamkan video reaksi bapanya itu, sebelum menghantar rakaman kepada dirinya dan dia kemudiannya memuat naik di TikTok secara suka-suka seperti biasa.

Kongsi wanita itu, bapanya merupakan seorang individu yang ceria dan murah senyuman, malah mereka sekeluarga tidak menjangka video berkenaan boleh meraih perhatian ramai.

Nur Fatin Sathirah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan berkongsi kegembiraan keluarga mereka serta menyifatkan program MySara sangat membantu rakyat yang memerlukan.

Setakat ini, video berdurasi 49 saat terbabit telah meraih lebih 1 juta tontonan dengan 166,500 tanda suka dan 4,632 komen.